Kenneth
\

Monday 1 August 2011

Indahnya aturanMu yaAllah.


"Ya Allah, aku tidak mampu."
Ada kalanya inilah antara bait-bait kata yang akan terungkap di bibir kita tatkala diuji oleh ujian-NYA.
Sahabatku, di kala hatimu mendung bagaikan awan yang berat dengan titisan-titisan air, yakinlah ada cahaya mentari yang akan menyinari hidupmu selepas itu kerana Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Seringkali kita terlupa untuk memikirkan hikmah di sebalik apa yang menimpa kita kerana kita terlalu fikirkan kesedihan di hati.
Di mana Allah di hati kita tatkala kesedihan itu bermaharajalela? Adakah kita masih ego untuk menadah tangan kepada-Nya terutamanya di sepertiga malam memohon dan bermunajat kepada-NYA?
Sahabat.. indahnya aturan Allah itu tidak dapat dinilai oleh mata hati yang leka dengan kehidupan dunia.
Di saat kita terleka, Allah turunkan ujian tanda sayangnya Allah kepada kita kerana hanya dengan ujian hati kita akan lebih terarah kepada mengingati Allah dan bermunajat kepada-NYA.
Bukankah Allah sudah berfirman dalam surah Ar Ra'd : Ayat 28 :
"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."[QS. 13:28]
Teruskanlah keyakinan kita dengan indahnya aturan Allah tetapkan kepada kita.
Dengan sifat redha dan bersabar serta berusaha untuk membaiki keadaan ke arah yang lebih baik adalah kata kunci kepada kehidupan yang diredhai Allah. Keyakinan terhadap indahnya aturan yang Allah tetapkan adalah keyakinan yang mampu membuatkan semangat kita tidak pernah luntur.
Yakinlah sahabat, Allah menyayangimu. Allah merindui ratapanmu kepada-NYA di setiap sujudmu. Allah merindui munajatmu terhadap-Nya di sepertiga malam di kala semua orang sedang nyenyak tidur.
Buatmu sahabat, Allah menyayangi dan mendengar setiap bait doa-doa kita.
Ikhlaskan diri dengan sentiasa berdoa kepada-Nya. Luahkanlah segala isi hatimu kepada-NYA.
Yakinlah, tiada apa yang perlu diragukan dan bertawakallah kepada-Nya, kepada Tuhan yang menciptakan dirimu, diri kita dan juga sekalian alam ini.
Yakinlah, indahnya tawakal kepada-Nya dan halawatul Iman itu akan dapat dirasai oleh orang yang melihat dengan mata hatinya.
Indahnya aturan-MU ya Allah.

Mahabbah nur Ilahi..


Ku mencari cinta nan suci,
Tanpa pengaruh nafsu duniawi,
Terasa sukar jalan yang ditempuhi,
Penuh liku dan onak duri...
Sudah lama ku mencari-cari,
Cinta yang suci tidak bertepi,
Setelah lama ku menghausi,
Akhirnya, cinta murni-Mu dimiliki hati...
Ya Allah, cinta-Mu...
Sungguh indah dan syahdu,
Ya Rahman, Kasih-Mu...
Mencairkan hatiku yang keras dan kaku...
Titisan hidayah-Mu penyejuk jawarih ini,
Dingin mengalir bagai dibasahi,
Ku cuba dekati, dan ku pasti,
Rahmat-Mu selautan mata air Firdausi...
Ya Allah, redha-Mu ku cuba suluhi,
Agar ku bisa bertemu dengan-Mu nanti,
Moga redha-Mu mengiringi roh ini,
Menerusi cahaya mahabbah ilahi...

Renungan RAMADHAN..


"Ramadhan bulan yang penuh keberkatan.  Di awalnya rahmat, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka".
Gembiranya hati tidak terkira kerana masih berpeluang menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini. Terima kasih Ya Allah, kerana masih memberi kesempatan untuk diri ini bersama-sama mengapai rahmat dan redha-MU dalam menggandakan pahala di bulan yang mulia ini untuk menuju syurga-MU.
Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut 'Rayyan'.  Akan diseru pada hari kiamat: " Mana orang yang berpuasa?". Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ya Allah, diri ini tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan-MU, sesungguhnya rindu ini semakin memuncak ,bila tibanya bulan yang penuh keberkatan ini, apatah lagi bagi orang yang berpuasa semata-mata kerana-MU akan dikurniakan syafaat.
Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda: "Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui tuhannya nanti, ia akan gembira kerana puasanya."
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nisa'i)
"Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada Hari Kiamat.  Berkata puasa pada Hari Kiamat: "Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat di waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu".  Dan berkata pula al-Quran: "Engkau larang ia tidur di waktu malam, sekarang  ia meminta syafaat padaku mengenai itu". Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah." (Hadis Riwayat Ahmad)
" Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu" (Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan)

cinTa se0rang playboy.


Zaman remaja sememangnya zaman yang indah dan bahagia buat dia. Zaman di mana dia dipuja dan dipandang tinggi oleh wanita-wanita di sekelilingnya. Dia tersenyum bangga. Berbekalkan wajah yang sempurna, ketinggian yang mantap dan bentuk tubuh yang bisa menambat hati gadis-gadis, dia begitu selesa dengan kehidupannya. Hatinya kini milik seribu wanita yang bergelar 'hawa'.
Untuk apa dia setia? Sedangkan rakan-rakannya yang lain kerap dipermainkan wanita walaupun mereka setia. Ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk teman wanita, akhirnya apabila sudah kopak, gadis tersebut meninggalkan mereka terkontang-kanting. Dia sendiri pun apa kurangnya. Sudah dua kali dia dicurangi makhluk yang bergelar kaum hawa itu walaupun dia telah korbankan segala kesetiaan dan kepercayaan kepada mereka.
Sudah dua kali juga dia menetapkan bahawa merekalah yang bakal menjadi permaisuri hidupnya tetapi sesungguhnya semua itu hanyalah sia-sia. Sekarang dia tersenyum puas. Puas kerana dapat mempermainkan hati lima gadis serentak! Dania, Ida, Zurin, Rushaida dan Lisya semuanya dia taburkan dengan janji-janji dan kasih sayang palsu. Andai salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati pun dia tidak peduli. Asalkan dia bahagia melihat gadis-gadis tersebut terulit dibuai janji kosong.
Cuaca pagi itu tenang dan damai. Burung-burung bahagia berkicauan. 'Mungkin burung-burung tu pun bahagia sebab ramai awek,' bisik hati kecilnya. Dia tersenyum riang. Hari ini merupakan hari pendaftaran degree untuk pelajar junior. Jika bernasib baik, mungkin akan adalah seorang 'awek' cun tersangkut kat dia lagi. Sedang dia berdiri memerhati gerak-geri junior-junior yang kebanyakannya comel-comel belaka, pandangannya terhenti kepada salah seorang gadis ayu yang sedang duduk memerhatikan jam tangan di tepi kaunter pendaftaran kolej kediaman. Di dalam hatinya, itulah gadis yang bakal menjadi mangsanya seterusnya.
Sejak hari pendaftaran itu, dia bersungguh-sungguh mendapatkan serba sedikit maklumat mengenai gadis tersebut daripada rakan-rakannya dan junior. Hatinya menjadi lebih panas apabila mendapat tahu bahawa gadis tersebut merupakan seorang gadis yang sering mempermainkan perasaan lelaki. Hatinya melonjak untuk mengenali gadis tersebut agar dia dapat mempermainkan gadis tersebut pula! Dia cuba memulakan langkah untuk berkenalan dengan gadis tersebut. Dia mengatur ayat-ayat manisnya yang sememangnya tidak pernah gagal menjerat hati seorang gadis. Setelah seminggu lebih menjengah khabar berita daripada rakan-rakan dan junior, dia berjaya juga mengetahui serba sedikit tentang gadis itu.
Namanya tidaklah seglamour wajahnya. Bukan Aleesya, Aleefa atau Natasya. Nama-nama tersebut adalah nama-nama biasa gadis-gadis cun yang dikenalinya selama ini. Tetapi kali ini, nama gadis yang cuba dikenalinya ini sungguh dalam maknanya. Gadis yang bernama Halimahtussaadiyah ini berasal dari Selangor. Setelah menaburkan ayat-ayat manis seperti biasa, tepat pada tarikh 8 Julai 2004, termaktublah bahawa mereka secara rasmi sudah menjadi sepasang kekasih.
Allah S.W.T  Yang Maha Berkuasa  tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Dengan termeterainya perhubungan itu, niat yang pada mulanya berunsur khianat telah bertukar sepenuhnya. Perkenalan itu menjadikan mereka kenal akan erti kesetiaan, kasih sayang dan cinta. Tiada lagi istilah playboy dan playgurl dalam diri mereka. Tiada lagi istilah curang, khianat atau mempermainkan hati masing-masing. Dia telah pun memohon ampun dan maaf kepada bekas-bekas kekasihnya di saat zaman playboy nya dahulu. Hatinya kini terpaut kepada Halimahtussaadiyah seorang dan dia tidak berniat untuk bermain-main lagi dalam percintaan.
Episod-episod bahagia telah menjengah hari-hari mereka berdua. Dia yakin pada kata hati bahawa Halimahtussaadiyah lah yang sebenar-sebenarnya jodoh kurniaan Allah S.W.T baginya. Mereka bagaikan belangkas. Ke mana sahaja pasti bersama.
Tetapi lama kelamaan perkara ini menjadi masalah buat mereka. Akibat selalu kelihatan berdua-duaan, mereka telah dipanggil oleh jawatankuasa perwakilan Persatuan Rohani IPTA. Ketika itu mereka tersedar bahawa mereka telah melakukan dosa yang menghampiri fitnah dan zina. Walaupun setakat ini, mereka masih mengawal perilaku mereka, perkara sebegini masih haram di dalam Islam. Sedangkan ber-couple itu juga adalah haram apatah lagi berdua-duaan. Astagfirullahalazim!
Namun mereka sudah terlalu mencintai antara satu sama lain. Setelah berbincang dengan ibu bapa masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah. Bukan mudah untuk meyakinkan ibu bapa pada mulanya namun, mereka tetap bersungguh agar tidak dipisahkan. Maka, tanggal 3 September 2005, mereka pun bertunang. Ketika majlis pertunangan dilangsungkan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memilih tarikh pernikahan pada bulan Disember 2005 iaitu pada tahun yang sama agar dapat mempercepatkan urusan membina masjid tersebut. Selepas bertunang, mereka semakin menjaga batas pergaulan mereka. Mereka tidak lagi kerap berjumpa kecuali jika terdapat urusan-urusan penting yang terpaksa mereka selesaikan bersama. Namun di dalam hati, masing-masing terasa sangat berdebar-debar menanti ketibaan hari yang ditunggu-tunggu. 
Tetapi kata orang, kita cuma mampu merancang. Allah juga yang Maha Menentukan. Tanggal 21 September 2005, iaitu hanya beberapa minggu selepas mereka bertunang, hadirlah suatu peristiwa yang tidak akan pernah dia lupakan selamanya. Tarikh itulah, tarikh dimana nyawa Halimatuhsaadiyah diragut kerana kemalangan jalan raya di Lebuhraya Elite sebaik pulang daripada rumahnya kerana terdapat perbincangan mengenai persiapan perkahwinan. Halimatussaadiyah meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur tepat pada jam 9.30 malam itu. Kemalangan ngeri itu telah mengakibatkan gegaran otak yang kuat dan menyebabkan pendarahan di dalam kepalanya. Dia yang turut terlibat di dalam kemalangan tersebut hanya patah kaki dan koma selama beberapa jam namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia tidak dapat hadir ke pengebumian Halimatussadiyah, seorang gadis yang amat dia cintai.
Saat dia sedar daripada koma, soalan pertama yang terbit dibibinya ialah di mana Halimahtussaadiyah dan bagaimana keadaannya? Bagi mengelak kejutan yang teruk dan atas nasihat doktor, ibu bapanya terpaksa menipu dengan mengatakan keadaan Halimahtussaadiyah stabil dan sedang dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur. 
Hari ke enam pada bulan Ramadhan, dia akhirnya dikeluarkan daripada hospital. Sepanjang berada di rumah, dia kerap bertanyakan perihal Halimahtussaadiyah namun, ibu bapanya hanya mampu berdiam diri kerana takut terjadi perkara yang tidak diingini padanya. Akhirnya, ibu bapanya terpaksa meminta bantuan daripada ibu bapa Halimahtussaadiyah untuk membantu mereka memberitahu akan khabar berita bahawa Halimahtussaadiyah telah pun kembali ke rahmatullah dan telahpun selamat dikebumikan. Sebaik mengetahui bahawa gadis yang dicintainya itu telah pun kembali pada Tuhan yang Maha Esa, hidupnya menjadi semakin tidak keruan. Dia tidak mahu makan, tidak mahu mandi dan asyik menghabiskan waktunya dengan menangis dan meratapi nasib. Hidupnya seakan-akan tidak terurus lagi. Pelajarannya ditinggalkan begitu sahaja.
Tetapi kisah dukanya tidak hanya terhenti di situ. Setelah tiga minggu mengetahui berita bahawa Halimatuhsaadiyah telah meninggalkannya selama-lamanya, dia mengalami masalah hilang ingatan akibat terlalu stress dan terlalu banyak berfikir. Ibu bapanya sudah puas menghantarnya menjalani rawatan di hospital-hospital pakar dan bertemu dengan ustaz-ustaz yang boleh mengubatinya namun masih tidak berhasil. Inilah ujian daripada Allah. Mungkin Allah S.W.T hanya akan mengizinkannya untuk mendapatkan kembali memorinya setelah dia tenang dan redha dengan pemergian Halimatuhsaadiyah.  
Alhamdulillah setelah berusaha tanpa jemu, akhirnya pada pertengahan bulan Mac pada tahun 2008, iaitu lebih kurang 2 tahun lebih selepas kejadian tersebut, ingatan dia kembali pulih seperti biasa. Ketika itu, dia telah redha dengan pemergian bekas tunangnya dan berdoa agar roh Halimatuhsaadiyah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman..
Sekarang, dia hanya meneruskan kehidupannya seperti biasa walau pedih untuk ditanganinya. Dia pernah bercerita, di dalam mimpinya arwah pernah hadir dan mengucapkan kata-kata yang telah membuatkan dia tersedar dan melaksanakan apa yang sepatutnya dia lakukan. Di dalam mimpi tersebut, arwah telah memintanya agar tidak berterusan bersedih hati dan terus mencapai impian merealisasikan cita-citanya.
Ajaib bukan? Seorang playboy bertukar menjadi seorang yang setia kerana kehendak-Nya. Seorang playboy diuji oleh Allah untuk menghapus dosa-dosanya. Jika selama ini dia menguji hati gadis-gadis yang dipermainkannya, kini hidupnya sarat dengan ujian Allah yang Maha Berkuasa. Allah menjadikan sesuatu pasti ada hikmahnya. Dipinjamkan oleh-Nya intan permata namun bisa ditarik bila-bila yang dikehendaki-Nya.
Di kesempatan ini inginku hadiahkan al-Fatihah buat Allahyarhamah Halimahtussaadiyah Binti Mohd Yusof (10 Dis 1985 – 21 Sept 2005). Jangan risau akak, impian dan cita-citanya tetap dia teruskan walaupun akak sudah tiada lagi di sisinya.
Addtion

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...